Friday 20 March 2020

Persatuan Pandu Puteri Malaysia


PENGENALAN


Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) merupakan salah satu daripada 144 organisasi anggota Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS). Persatuan Pandu Puteri Malaysia telah ditubuhkan secara rasminya dalam tahun 1917 apabila ia didaftarkan di Calcutta tetapi Pusat Pentadbiran ialah di Singapura, sehingga tahun 1956.

Ibu Pejabat Kebangsaan kini terletak di Wisma Pandu Puteri, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur sejak tahun 1957.
Persatuan Pandu Puteri Malaysia mempunyai komitmen melahirkan golongan remaja wanita dan wanita dewasa yang berkaliber melalui penerapan ilmu, kemahiran dan nilai kepanduan demi kepentingan nusa, bangsa dan masyarakat sejagat.

Persatuan Pandu Puteri Malaysia bertujuan menjadi sebuah organisasi yang dinamik dan efektif untuk remaja dan wanita dewasa. Persatuan Pandu Puteri Malaysia akan menonjolkan imej yang selari dengan program berkualiti yang menyediakan remaja dan wanita dewasa hari ini untuk menjadi pemimpin berwibawa hari esok.

Persatuan Pandu Puteri Malaysia menyediakan program kepanduan yang bercorak pendidikan bukan formal. Pelaksanaan program bukan formal ini mementingkan perkaedahan yang fleksibel, ceria dan aktif untuk memenuhi kehendak dan keperluan remaja wanita dan wanita dewasa Malaysia.


PANDU PUTERI DEWASA


Individu dewasa yang pernah mengikuti Program Pandu Puteri Kadet atau Program Pandu Puteri Siswi. Individu ini boleh mengendalikan Pasukan Pandu Puteri Tunas, Pasukan Pandu Puteri Remaja, Pasukan Pandu Puteri Renjer, Pasukan Pandu Puteri Kadet atau Pasukan Pandu Puteri Siswi yang ditugaskan tanpa menghadiri Kursus Pemimpin Baru. Pemakaian lencana Pandu Puteri Kadet / Pandu Puteri Siswi ditukar dengan lencana pelantikan pemimpin.

Individu dewasa yang tidak pernah mengikuti Program Pandu Puteri Kadet atau Program Pandu Puteri Siswi tetapi berminat atau dilantik sebagai penasihat oleh pihak tertentu untuk mengendalikan Pasukan Pandu Puteri Tunas, Pasukan Pandu Puteri Remaja, Pasukan Pandu Puteri Renjer, Pasukan Pandu Puteri Kadet atau Pasukan Pandu Puteri Siswi.
Syarat kelayakan: Perlu hadir Kursus Pemimpin Baru dan dilantik sebagai Pemimpin Tidak Berwaran oleh Pesuruhjaya Daerah atau Ketua Pesuruhjaya Cawangan.

Pemimpin Berwaran digalakkan mengikuti Kursus Lanjutan supaya lulus Kelas Satu dan boleh menguji Pandu Puteri Remaja atau Pandu Puteri Renjer Kelas Satu sehingga ke peringkat Pandu Puteri Raja.

Pesuruhjaya ialah Pemimpin Berwaran yang mentadbir, mengurus dan mengelolakan aktiviti Pandu Puteri di peringkat Kebangsaan, Cawangan dan Daerah.

Seseorang Pemimpin Berwaran boleh dipilih dan dilantik sebagai Pesuruhjaya untuk jawatan tertentu oleh Pesuruhjaya Daerah, Ketua Pesuruhjaya Cawangan, atau Ketua Pesuruhjaya Malaysia. Pelantikan ini hendaklah disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Malaysia. 




No comments:

Post a Comment